Thursday, November 25, 2010

NEGATIF YANG POSITIF.

Berikut ialah peribahasa-peribahasa yang bersifat negatif:

1.hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

 2.kutu embun. 

3. pekak badak.

4.kacang lupakan kulit.

5.tebal muka.

Dalam keadaan tertentu,sifat-sifat negatif di atas mampu memberikan hasil yang positif seperti di bawah.
Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong bermaksud suka ikut campur urusan orang lain.Kamu mungkin tidak pernah kenal pun adik-adik yang baru sampai semasa PSMB baru-baru ini.Tiba-tiba kamu datang ke rumah adik-adik baru ini untuk menolong mereka mengemas rumah,memasak,dan membawa mereka berjalan-jalan di sekitar Mansurah atas kesedaran kamu sebagai seorang Muslim.Apabila kamu melakukan ini semua,maka kamu akan digelar sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.


Kutu embun bermaksud seseorang yang suka  keluar merayau-rayau tanpa tujuan pada waktu larut malam.Kamu mungkin baru selesai menyiapkan dewan untuk majlis MAWAR yang akan berlangsung pada keesokan harinya sehingga terpaksa pulang ke rumah pada pukul 2.30 pagi.Boleh jadi juga kamu baru pulang dari mesyuarat PCM yang berlanjutan sehingga pukul satu pagi.Pada waktu itu, embun dinihari sedang menitis.Manusia-manusia yang terserempak dengan kamu semasa kamu dalam perjalanan pulang akan mengatakan kamu ini seorang kutu embun.


Pekak badak ialah kamu tidak dapat mendengar suara yang kuat tapi dapat pula mendengar suara yang lembut.Kamu mungkin seorang yang bersemangat dalam melakukan amar makruf atau mengajak manusia kepada perkara kebaikan.Dalam masa yang sama,kamu juga tidak meninggalkan nahi mungkar kerana kedua-dua perkara ini adalan seiringan.Disebabkan tanggungjawab yang kamu lakukan ini,segelintir lidah-lidah manusia telah mencerca kamu dengan suara yang kuat.Tetapi telinga kamu tidak mendengar cercaan yang kuat itu kerana telinga kamu sedang mendengar Al Quran yang berbisik lembut kepada kamu supaya tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Apabila kamu berjaya melakukan perkara ini,kamu memang seorang yang pekak badak.


Kacang lupakan kulit ialah sejahat-jahat sifat yang mesti dijauhi oleh manusia.Siapalah seorang manusia itu tanpa ibu yang melahirkan dan ayah yang membesarkan dengan kasih sayang.Air mata yang mengalir kerana rindukan keluarga mesti segera kamu kesat dengan hujung baju apabila kamu memegang amanah persatuan nanti.Boleh jadi kamu tidak berpeluang pulang ke Malaysia semasa cuti musim panas.Bahkan mungkin pada 1 Syawal kamu dilihat sedang menyapu sampah di Darul Rahmah semata –mata tugas persatuan yang kamu pikul.Takut-takut nanti kamu akan digelarkan sebagai kacang lupakan kulit kerana jarang pulang ke Malaysia bertemu keluarga disebabkan tugasan persatuan.


 Tebal muka ialah kamu tidak tahu malu.Kamu akan digelarkan dengan peribahasa ini apabila semua cubaan di atas kamu mampu hadapi dengan penuh kesabaran dan mengharapkan bantuan Allah.Kamu tidak malu kerana kamu melakukan apa yang kamu yakini sebagai benar selagi selari dengan panduan Al Quran dan Al Hadis.Ribut celaan dan taufan ujian gagal menumbangkan prinsip perjuangan kamu.Pada tahap ini,muka kamu layak diklasifikasikan sebagai muka yang tebal.


Samada kamu setuju atau tidak,sifat-sifat negatif yang positif di atas mesti ada pada sesiapa sahaja yang mahu terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan.Apatah lagi bagi yang terlibat dalam gerak kerja dakwah.Samada kamu memegang jawatan kecil atau jawatan tertinggi dalam persatuan.Samada di Mansurah sini atau di Malaysia sana.Semakin besar jawatan dan amanah yang dipikul,semakin kuat sifat-sifat ini perlu melekat pada peribadi kamu.


Kehebatan dan keupayaan seseorang pemimpin itu dapat dinilai apabila beliau mampu memanipulasikan sifat-sifat negatif di atas untuk disalurkan kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan.
Kebetulan,saya nampak sifat-sifat ini ada pada Azizi.


Ops,terkempen.

Minta maaf.

Akhir sekali, saya berpesan kepada diri dan bakal pimpinan PCM akan datang supaya sentiasa memohon pertolongan Allah.Tiada daya dan upaya melainkan semuanya milik Allah.

Akhukum,

Nabil.

No comments:

Post a Comment