Aku menulis ketika mana hati ini merasa kekurangan sesuatu..seolah-olah ada sesuatu yang terbuku untuk aku sampaikan pada mereka.
Sehingga ke saat ini, ramai yang bertanya mengapa aku mengambil keputusan untuk bertanding dalam jawatan Pengerusi ini. Jawapan aku mudah tapi mungkin agak sukar untuk difahami bagi sesetengah pihak…aku meletakkan diri aku pada posisi ini atas dasar sebuah KEFAHAMAN.
Seuntai rasa untuk ‘memberi’
Aku bukanlah insan yang sempurna yang punya segala ciri-ciri kebaikan tanpa cacat cela. Aku juga menyedari bahawa masih banyak yang perlu aku timba daripada alam ciptaan Allah ini. Namun kekurangan itu tidak melemahkan semangatku untuk menabur bakti pada masyarakat..kerana aku punya seuntai rasa untuk memberi. Bagiku jiwa ini terasa begitu tenang dengan ‘memberi’ pada masyarakat. Biarlah apa yang mereka kata, bagiku apa yang aku lakukan adalah antara aku dengan Tuhanku. Aku merasakan bahawa aku telah menerima selautan nikmat dan rahmat daripadaNya.
Jadi mengapa aku perlu bertangguh-tangguh dan merasakan nikmat itu hanya untuk aku? Peganganku mudah, sesungguhnya segala nikmat iman dan Islam ini adalah datang daripada Allah, aku sangat berharap Allah akan memelihara hati ini agar janganlah dibalikkan hati ini pada kekufuran dengan berkat daripada sedikit yang aku ‘beri’ pada hamba-hambaNya.
Hidup ini adalah suatu perkongsian
Setiap daripada kita pasti punya kelebihan dan keistimewaan..yang pastinya akan lebih bermakna jika kita kongsikan untuk manfaat bersama. Saya mengimpikan, alangkah indahnya sesebuah persatuan itu yang mana mereka hidup saling bantu-membantu, nasihat-menasihati dan saling mengasihi sesama mukmin sehinggakan seolah-olah mereka seperti batu bata dalam sesebuah bangunan yang saling mengukuhi. Mereka menyedari bahawa hendak atau tidak kita perlu berusaha ke arah ‘syurga’ tetapi sifat manusia itu selalu lalai dan perlu pada peringatan. Maka bukankah perkongsian itu perlu untuk manfaat kita bersama ?
Sebahagian jiwa ini terisi dengan PCM
Banyak yang aku timba sepanjang keterlibatanku dalam gerak kerja berpersatuan dalam PCM. Sehingga aku menjadi diri aku hari ini. Dengannya aku belajar untuk memahami apa yang tersirat pada jiwa masyarakat di sekelilingku dan dengannya juga aku juga belajar untuk memahami hakikat diri ini. Jiwa ini terasa begitu terisi berkat kita hidup berpersatuan. Adakalanya kita belajar untuk menjadi orang suruhan dengan merendahkan ego dalam diri dan ada kalanya kita belajar untuk menjadi orang yang menyuruh dengan potensi yang ada dalam diri.
Di pentas ini, aku belajar untuk lebih menghargai masa. Aku menyedari bahawa setelah mana aku terlibat dengan persatuan maka hendak atau tidak aku perlu sedia untuk lebih berkorban. Korbankan masa rehat dan masa bermain untuk terus ‘study’. Di pentas PCM ini juga, ada kalanya aku di asak dengan cabaran dan dugaan yang mendesak aku untuk jadi lebih daripada sekadar diriku. Aku yakin sahabat-sahabatku yang lain juga pasti merasai apa yang aku rasa.
Kita perlu menjadi insan yang baik kerana kita ingin mengajak kepada kebaikan..
Kita perlu jadi insan cemerlang kerana kita ingin mengajak mereka kepada kecemerlangan..
Kita perlu sedia ditarbiyah kerana kita ingin mentarbiyah insan lain..
Masih aku simpan kata-kata ayah, ‘jadilah seperti tasik..bukan sekadar gelas’. Tasik yang mampu menakung air yang banyak yang dapat menghilangkan dahaga sekelian manusia zaman berzaman.
Kalau boleh, aku sangat ingin mereka juga merasai seperti yang aku rasai. Indahnya hidup berpersatuan dalam PCM!
Melangkah untuk terus ke hadapan
Aku berpandangan PCM adalah suatu wadah yang paling sesuai untuk menyatukan masyarakat di Mansurah dan ini telahpun terbukti sebenarnya. Cuma ia perlu dikemudi dengan cermat agar tidak lari daripada destinasi yang dituju jika tidak penumpangnya yang telah melebihi 1000 akan turut tersesat.
Jika kita punya kelebihan, pengalaman dan wawasan…maka kita tawarkannya pada masyarakat untuk mereka menilai dan memilih. Setidak-tidaknya aku telahpun menyatakannya pada mereka. Dan aku akan tetap bersama PCM sama ada di atas atau di bawah selagi mana PCM terus bergerak berlandaskan syariat Islam..InsyaAllah
setitis air yang hina,
Ahmad Azizi Bin Md Jusoh
Ahmad Azizi Bin Md Jusoh
No comments:
Post a Comment