Thursday, November 25, 2010

Temu Ramah Bersama Azizi

Kenapa Saya Sokong Azizi ?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Sejak  umumnya mengetahui siapakah calon –calon pimpinan untuk PCM sesi 10/11, dinginnya Mansurah telah dihangatkan dengan pelbagai ragam mahasiswa/i, masing-masing cuba berkempen untuk calon pilihan hati. Esok, tarikh pembuangan undi. Sehingga saat ini pun, masih ada yang berusaha untuk meraih undi,lebih-lebih lagi  CALON PENGERUSI PCM 10/11. Kenapa? Kerana PENGERUSI ITULAH YANG BERTANGGUNGJAWAB ATAS SEGALA YANG BERLAKU PADA AHLI PCM, jika sesuatu yang melanda komuniti pelajar perubatan di  Mansurah, orang pertama yang akan dicari ialah PENGERUSi.

MAAF, sekiranya selepas ini artikel akan menjadi panjang, dan saya merayu, pada anda sebagai salah seorang yang akan membuang undi  membaca sampai habis apa yang saya akan tuliskan DENGAN TENANG. 

 3R vs 3K

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, siapalah saya untuk memperkatakan tentang calon pengerusi PCM 10/11. Saya bukan exco PCM, tidak pernah menyandang mana-mana jawatan tertinggi PCM, TAPI, mungkin pandangan saya akan diambil kira jika saya memberitahu kalian, saya punya PENGALAMAN bekerjasama dengan salah seorang CALON PENGERUSI PCM 10/11, saudara MOHD ASHRAF SHABADIN. Saya di taklifkan untuk menjadi TIMBALAN KETUA LAJNAH PENYELIDIKAN & PERANCANGAN (P&P)  di bawah unit akademik PCM sesi 09/10, dan TIMBALAN PENGARAH TUTOR  merangkap penolong kepada saudara MOHD ASHRAF SHABADIN.
Tetapi, malangnya saya belum diberi kesempatan untuk berkerjasama dengan saudara AHMAD AZIZI MD JUSOH,  JADI, anda fikir, siapa yang saya akan sokong? Jika ikutkan logik akal, pasti saya akan memilih KETUA SAYA SEBAGAI PENGERUSI, bukan?

Teringat  kembali, malam sehari sebelum hari pengenalan calon, saya menukar status YM, mempamerkan sokongan pada calon pengerusi  pilihan hati, sudah diagak, ramai yang ‘menghentam’ saya, saya di ‘brainwash’ dan seolah-olah memaksa saya mengubah fikiran, sebab apa? SEBAB SAYA MENYOKONG 100% AHMAD AZIZI MD JUSOH MENJADI PENGERUSI PCM SESI 10/11, bukan KETUA SAYA.
  Saya tidak kisah dengan apa jua kutukan atau pernyataan kalian dengan pegangan saya ini, mungkin tika waktu itu, ada sahabat memberitahu tindakan saya kurang rasional, atas sebab pengenalan calon belum dilakukan, di tambah pula dengan REKOD TIADA PENGALAMAN bekerja dengan AHMAD AZIZI MD JUSOH, menampakkan sedikit berat sebelah disitu, saya diam, dan ambil keputusan untuk terus diam.


AZIZI TETAP CALON PENGERUSI PCM 10/11 PILIHAN SAYA

 AZIZI lebih layak jadi PENGERUSI PCM 10/11, itu kata hati saya. Untuk menyakinkan keputusan saya itu tepat, saya ada membuat sedikit ‘homework’. Terlalu ramai  yang memperkatakan tentang kelebihan AZIZI, kelemahan AZIZI? Sangat susah nak dengar, tapi, saya masih perlukan sebab kukuh menyokong kenapa saya pilih dia jadi pengerusi PCM 10/11. 

Ketika dalam perjalanan untuk sesi pengenalan calon, saya masih lagi bertanya pada sahabat saya, “betul ke tak ni pilihan yang saya buat?, saya harap AZIZI tak mengecewakan saya dan penyokongnya yang lain, takut manifesto yang AZIZI bentangkan bakal mengecewakan saya”

  Usai habis sesi pengenalan calon pengerusi, saya TERSENYUM PUAS, ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH. INSYAALLAH, manifesto AZIZI menyakinkan saya yang saya tak silap menilai dan memilihnya sebagai PENGERUSI PCM 10/11.

PENGALAMAN vs. PERTAMA KALI

YA! PENGALAMAN menjadi faktor penting kenapa saya memilih AZIZI, ada yang berkata “ ala, orang lain macam izzat kamal boleh je jadi pengerusi for the first time.”  ya, tak dapat saya nafikan. Tapi sewaktu PCM di bawahnya, hanya lebih kurang 300 pelajar perubatan yang belajar di Mansurah ini, EMPAT KALI GANDA KURANG DARI SEKARANG, sekarang? Bilangan pelajar hampir mencecah angka 1200 lebih. Yang punya pelbagai ragam, pelbagai kerenah, pelbagai corak hidup, pelbagai masalah, kita BUKANNYA robot yang boleh diprogramkan dengan satu pemikiran yang sama. Jika kita robot yang sedemikian, maka pengalaman bukanlah menjadi isunya. PENGALAMAN lah yang mengajar seseorang itu untuk berhadapan dengan pelbagai ragam orang, pelbagai kerenah dan pemikiran. Dengan pengalaman, seseorang pemimpin itu tahu bagaimana mahu mendekatkan diri dengan orang bawahannya, KALAU TAK BOLEH GUNA CARA A, AKAN ADA PLAN B.

Skop pengalaman itu luas bagi saya untuk diterjemahkan, dan paling penting pengalaman dari segi pernah berdepan dengan setiap masalah yang melanda PCM, tidak kira unit apa pun. Ada yang bertanya, “Macam mana nak tahu masalah-masalah PCM yang lain?”  

TIDAK ADA JALAN LAIN UNTUK TAHU MASALAH-MASALAH DALAMAN PCM SELAIN ANDA JADI EXCO TERLEBIH DAHULU BUKAN DENGAN MENJADIKAN EXCO PCM SEBAGAI SAHABAT RAPAT ANDA, ANDA AKAN TAHU SEGALANYA TENTANG MASALAH ATAU HAL-HAL DALAMAN PCM.

 Renung-renungkan pernyataan diatas, maksud menjadi exco = bukan menjadi pengerusi terus, tetapi exco biasa, sebab dari situ, anda dapat develop bakat kepimpinan anda dan pada masa yang sama dapat tahu selok-belok, pembawakan PCM yang sebenar…

Malah, suka saya memetik kata-kata saudara AHMAD AZIZI MD JUSOH, semasa sesi pengenalan calon.
“ Cuma apa yang saya nak tekankan ialah kita nak bawa kualiti dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh PCM, kenapa saya sebut macam ni? SEBAB SETIAP TAHUN KEBANYAKAN AJKT-AJKT AKAN MERANCANG BERMACAM-MACAM AKTIVITI YANG AKAN DITULIS, BANYAK SANGAT AKTIVITI. TETAPI SEBAGAI SEORANG PELAJAR PERUBATAN, MASA KITA TERHAD, SETIAP MASA KITA ADALAH MASA YANG BERHARGA. Jadi, seorang yang menjadi ajkt sebagai perancang, dia perlu memilih aktiviti yang benar-benar berkualiti, untuk apa?? UNTUK BERI KESAN PADA AHLI PCM SENDIRI.”

Saya ingin bertanya kepada kalian , dari mana AZIZI boleh terfikir untuk memperkatakan tentang ini melainkan dari sebuah PENGALAMAN. 

AZIZI sendiri merupakan pelajar perubatan, merangkap ketua unit UPI, mengakui, tidak punya banyak waktu, sedar akan hal itu, namun masih mampu lagi untuk berkorban masa, tenaga, duit, meskipun apa yang dilakukan tidak akan dapat apa-apa upah dari manusia.

Malah, tak keterlaluan bagi saya untuk menyatakan, PENGALAMAN PALING BERHARGA buat AZIZI dalam mempersiapkan diri untuk menjadi PENGERUSI atau apa jua jawatan ialah ketika dilantik untuk menjadi PEMANGKU PENGERUSI PCM pada cuti musim panas yang lalu. Sikap tenang yang ada pada AZIZI, ketika program SINAR ’10, amat-amat memberi kesan pada sesiapa yang mengenali beliau, sekaligus menjadi BONUS pada beliau dalam membina ‘networking’ dengan persatuan –persatuan lain.

PENGISLAHAN vs. PERUBAHAN

Sebelum saya menulis, saya membaca terlebih dahulu manifesto yang dibawakan oleh kedua-dua calon pengerusi, 3R oleh saudara MOHD ASHRAF SHABADIN dan 3K oleh saudara AHMAD AZIZI MD JUSOH. Bagi saya, kedua-duanya membawa manifesto yang hampir sama. TAPI tetap ada perbezaan.
Saya tertarik pada salah satu ‘3K’ yang AZIZI bentangkan, KUALITI.

“KUALITI yang saya nak bawakan, kerana apa yang saya nampak PCM sudah mempunyai asas-asas dalam melakukan setiap kerja yang dilaksanakan dalam PCM, seperti aktiviti-aktiviti dalam sukan, kebajikan, akademik, dan sebagainya. Cuma apa yang saya nak tekankan ialah kita nak bawa kualiti dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh PCM, kenapa saya sebut macam ni? SEBAB SETIAP TAHUN KEBANYAKAN AJKT-AJKT AKAN MERANCANG BERMACAM-MACAM AKTIVITI YANG AKAN DITULIS, BANYAK SANGAT AKTIVITI. TETAPI SEBAGAI SEORANG PELAJAR PERUBATAN, MASA KITA TERHAD, SETIAP MASA KITA ADALAH MASA YANG BERHARGA. Jadi, seorang yang menjadi ajkt sebagai perancang, dia perlu memilih aktiviti yang benar-benar berkualiti, untuk ape? UNTUK BERI KESAN PADA AHLI PCM SENDIRI”

Setuju dengan AZIZI, bahkan saya yang menjadi ajk kecil unit akademik juga merancang pelbagai aktiviti-aktiviti untuk kalian, tetapi tak semuanya berjalan seperti yang dirancang. Pokoknya, biar kurang dari segi kuantiti, tapi meningkat dari segi kualiti. Perlu diingat, tujuan utama kita disini ialah untuk menuntut ilmu perubatan yang umumnya tahu memang menuntut banyak masa untuk belajar, mana mungkin kita dapat buat aktiviti yang banyak? Baik lantik pegawai khas saja. INGAT! Kita PELAJAR, BUKAN PEGAWAI!!!
Perubahan  yang menjadi ‘main point’ dalam manifesto saudara MOHD ASHRAF SHABADIN. Jujur saya sangat bersetuju dengan perubahan yang dikatakan oleh beliau. Tapi tidak bermakna saya menyokong beliau untuk menjadi PENGERUSI. Seorang sahabat saya merangkap exco PCM, menyatakan, kebanyakan idea-idea saudara ASHRAF cadangkan, telah pun dibincangkan di meja pimpinan tertinggi PCM, Namun, terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Sebab itulah saya TEKANKAN sekali lagi betapa pentingnya menjadi ‘orang bawahan’ terlebih dahulu, bukan terus jadi pengerusi. 

Dan  ini pendapat peribadi saya sendiri, jika PCM perlukan perubahan sekalipun, tidak bermakna dan tidak perlu PENGERUSI juga perlukan perubahan dengan cara, kerusi PENGERUSI itu disandang oleh muka baru. Contohnya, lihat saja calon-calon AJKT PCM ikhwah dan akhwat, rata – rata muka baru, tak kan tak ada idea baru dari meraka, walaupun seorang? Apa yang penting , PENGERUSI HARUS ADA PENGALAMAN.

PENGORBANAN
Saya terkedu bila membaca artikel tulisan saudara MOHD ZAIM ABDULLAH
Si Azizi Jusoh, sudah hampir 3 tahun tidak pulang ke Malaysia, dan setiap tahun, di setiap cuti summer. Dia tak pernah terlepas menjadi ajk itu ajk ini. Itu contoh semangat yang luar biasa. Tak ramai yang sanggup menjadi ajk berulang-ulang kali dalam tempoh cuti yang paling berharga untuk rehat. Jadi ajk atau exco bermakna anda akan kehabisan wang, penat dan sebagainya.” 

Dan yang terbaru terlibat dalam PSMB, sudah banyak kali AZIZI menyambut junior baru.
Dan satu perkara yang buat saya tak silap memilih AZIZI sebagai pengerusi PCM 10/11 ialah, keterlibatan beliau dalam PSMB, serta dalam pada masa yang sama merangkap pemangku pengerusi, dan paling penting dia juga terpaksa mengambil peperiksaan dur thani, yang saya kira jarak waktu exam dan PSMB, amat dekat!! 

JIKA saya dan anda semua berada di tempat AZIZI, sanggupkah anda melakukan perkara yang sama? Sudahlah baru saja berhempas pulas menjawab exam, kemudian terpaksa masuk meeting untuk PSMB, dan terpaksa berkorban duit, tenaga, masa hanya untuk junior yang dia sendiri tidak pernah bersua muka!!
SEBAB ITU ADA YANG KATA AZIZI NI, 1 DALAM 10 !!! SAYA SETUJU!!

Namun apa yang paling penting, kuatnya pegangan agama si PENGERUSI itu menjadi asbab saya memilih AZIZI, usah dipertikaikan, tengok saja bila dia mengepalai unit UPI yang memang dianggap salah satu unit berat dalam PCM. NAMUN TIDAKLAH BERMAKSUD SAYA TIDAK MENYOKONG MOHD ASHRAF SHABADIN ATAS SEBAB DIA TIDAK KUAT AGAMA@ BARU NAK KENAL ISLAM!!
 
SIAPA KATA BEGITU?  Saya yang bekerja dengan dia, saya tahu gerak kerja MOHD ASHRAF SHABADIN macam mana. Di setiap kali meeting kami, pasti dimulai dengan tazkirah , disertakan dengan ayat al-quran atau hadis yang dihafalnya. 

Jadi, pada sesiapa yang membuat tuduhan tak berasas seperti diatas, saya harap anda sedar anda silap, dan ingatlah siapa kita nak mengukur taqwa seseorang itu? Hanya ALLAH saja yang dapat menilai taqwa seseorang.

Akhir kalam, undilah dengan bijak, jangan diundi seseorang itu dengan hanya sebab dia bijak, pandai bercakap, cakapnya dengan penuh yakin, atau sebab tak nak calon bukan pilihan naik.UNDILAH CALON PILIHAN ANDA ATAS DASAR KEFAHAMAN. FAHAM TENTANG PEMBAWAKAN PCM.
Kerana andalah yang bertanggungjawab dengan undi anda!! Jika calon pilihan anda naik, jangan dibiar dia keseorangan memerah tenaga untuk merealisasikan apa yang dijanjikan, tapi ANDA JUGA harus turun padang, membantu dia supaya dapat dibuktikan pilihan anda itu TEPAT!
Maaf andai tiap kata-kata yang saya tuliskan, membawa kepada ketidakpuasan hati kalian.


Yang mengharap,
ILLANI BINTI RIZA,
TAHUN 4 PERUBATAN KONVENSIONAL,
TIMBALAN KETUA LAJNAH P&P UNIT AKADEMIK 09/10 ,
TIMBALAN PENGARAH TUTOR





Apa Kata Mereka ( Full Video )

Jalan Ini...

Aku menulis ketika mana hati ini merasa kekurangan sesuatu..seolah-olah ada sesuatu yang terbuku untuk aku sampaikan pada mereka.

Sehingga ke saat ini, ramai yang bertanya mengapa aku mengambil keputusan untuk bertanding dalam jawatan Pengerusi ini. Jawapan aku mudah tapi mungkin agak sukar untuk difahami bagi sesetengah pihak…aku meletakkan diri aku pada posisi ini atas dasar sebuah KEFAHAMAN.

Seuntai rasa untuk ‘memberi’

Aku bukanlah insan yang sempurna yang punya segala ciri-ciri kebaikan tanpa cacat cela. Aku juga menyedari bahawa masih banyak yang perlu aku timba daripada alam ciptaan Allah ini. Namun kekurangan itu tidak melemahkan semangatku untuk menabur bakti pada masyarakat..kerana aku punya seuntai rasa untuk memberi. Bagiku jiwa ini terasa begitu tenang dengan ‘memberi’ pada masyarakat. Biarlah apa yang mereka kata, bagiku apa yang aku lakukan adalah antara aku dengan Tuhanku. Aku merasakan bahawa aku telah menerima selautan nikmat dan rahmat daripadaNya.

Jadi mengapa aku perlu bertangguh-tangguh dan merasakan nikmat itu hanya untuk aku? Peganganku mudah, sesungguhnya segala nikmat iman dan Islam ini adalah datang daripada Allah, aku sangat berharap Allah akan memelihara hati ini agar janganlah dibalikkan hati ini pada kekufuran dengan berkat daripada sedikit yang aku ‘beri’ pada hamba-hambaNya.

Hidup ini adalah suatu perkongsian

Setiap daripada kita pasti punya kelebihan dan keistimewaan..yang pastinya akan lebih bermakna jika kita kongsikan untuk manfaat bersama. Saya mengimpikan, alangkah indahnya sesebuah persatuan itu yang mana mereka hidup saling bantu-membantu, nasihat-menasihati dan saling mengasihi sesama mukmin sehinggakan seolah-olah mereka seperti batu bata dalam sesebuah bangunan yang saling mengukuhi. Mereka menyedari bahawa hendak atau tidak kita perlu berusaha ke arah ‘syurga’ tetapi sifat manusia itu selalu lalai dan perlu pada peringatan. Maka bukankah perkongsian itu perlu untuk manfaat kita bersama ?

Sebahagian jiwa ini terisi dengan PCM

Banyak yang aku timba sepanjang keterlibatanku dalam gerak kerja berpersatuan dalam PCM. Sehingga aku menjadi diri aku hari ini. Dengannya aku belajar untuk memahami apa yang tersirat pada jiwa masyarakat di sekelilingku dan dengannya juga aku juga belajar untuk memahami hakikat diri ini. Jiwa ini terasa begitu terisi berkat kita hidup berpersatuan. Adakalanya  kita belajar untuk menjadi orang suruhan dengan merendahkan ego dalam diri dan ada kalanya kita belajar untuk menjadi orang yang menyuruh dengan potensi yang ada dalam diri.

Di pentas ini, aku belajar untuk lebih menghargai masa. Aku menyedari bahawa setelah mana aku terlibat dengan persatuan maka hendak atau tidak aku perlu sedia untuk lebih  berkorban. Korbankan masa rehat dan masa bermain untuk terus ‘study’. Di pentas PCM ini juga, ada kalanya aku di asak dengan cabaran dan dugaan yang mendesak aku untuk jadi lebih daripada sekadar diriku.  Aku yakin sahabat-sahabatku yang lain juga pasti merasai apa yang aku rasa.

Kita perlu menjadi insan yang baik kerana kita ingin mengajak kepada kebaikan..

Kita perlu jadi insan cemerlang kerana kita ingin mengajak mereka kepada kecemerlangan..

Kita perlu sedia ditarbiyah kerana kita ingin mentarbiyah insan lain..

Masih aku simpan kata-kata ayah, ‘jadilah seperti tasik..bukan sekadar gelas’. Tasik yang mampu menakung air yang banyak yang dapat menghilangkan dahaga sekelian manusia zaman berzaman.
Kalau boleh, aku sangat ingin mereka juga merasai seperti yang aku rasai. Indahnya hidup berpersatuan dalam PCM!

Melangkah untuk terus ke hadapan

Aku berpandangan PCM adalah suatu wadah yang paling sesuai untuk menyatukan masyarakat di Mansurah dan ini telahpun terbukti sebenarnya. Cuma ia perlu dikemudi dengan cermat agar tidak lari daripada destinasi yang dituju jika tidak penumpangnya yang telah melebihi 1000 akan turut tersesat.

Jika kita punya kelebihan, pengalaman dan wawasan…maka kita tawarkannya pada masyarakat untuk mereka menilai dan memilih. Setidak-tidaknya aku telahpun menyatakannya pada mereka. Dan aku akan tetap bersama PCM sama ada di atas atau di bawah selagi mana PCM terus bergerak berlandaskan syariat Islam..InsyaAllah


setitis air yang hina,
Ahmad Azizi Bin Md Jusoh

NEGATIF YANG POSITIF.

Berikut ialah peribahasa-peribahasa yang bersifat negatif:

1.hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

 2.kutu embun. 

3. pekak badak.

4.kacang lupakan kulit.

5.tebal muka.

Dalam keadaan tertentu,sifat-sifat negatif di atas mampu memberikan hasil yang positif seperti di bawah.
Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong bermaksud suka ikut campur urusan orang lain.Kamu mungkin tidak pernah kenal pun adik-adik yang baru sampai semasa PSMB baru-baru ini.Tiba-tiba kamu datang ke rumah adik-adik baru ini untuk menolong mereka mengemas rumah,memasak,dan membawa mereka berjalan-jalan di sekitar Mansurah atas kesedaran kamu sebagai seorang Muslim.Apabila kamu melakukan ini semua,maka kamu akan digelar sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.


Kutu embun bermaksud seseorang yang suka  keluar merayau-rayau tanpa tujuan pada waktu larut malam.Kamu mungkin baru selesai menyiapkan dewan untuk majlis MAWAR yang akan berlangsung pada keesokan harinya sehingga terpaksa pulang ke rumah pada pukul 2.30 pagi.Boleh jadi juga kamu baru pulang dari mesyuarat PCM yang berlanjutan sehingga pukul satu pagi.Pada waktu itu, embun dinihari sedang menitis.Manusia-manusia yang terserempak dengan kamu semasa kamu dalam perjalanan pulang akan mengatakan kamu ini seorang kutu embun.


Pekak badak ialah kamu tidak dapat mendengar suara yang kuat tapi dapat pula mendengar suara yang lembut.Kamu mungkin seorang yang bersemangat dalam melakukan amar makruf atau mengajak manusia kepada perkara kebaikan.Dalam masa yang sama,kamu juga tidak meninggalkan nahi mungkar kerana kedua-dua perkara ini adalan seiringan.Disebabkan tanggungjawab yang kamu lakukan ini,segelintir lidah-lidah manusia telah mencerca kamu dengan suara yang kuat.Tetapi telinga kamu tidak mendengar cercaan yang kuat itu kerana telinga kamu sedang mendengar Al Quran yang berbisik lembut kepada kamu supaya tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Apabila kamu berjaya melakukan perkara ini,kamu memang seorang yang pekak badak.


Kacang lupakan kulit ialah sejahat-jahat sifat yang mesti dijauhi oleh manusia.Siapalah seorang manusia itu tanpa ibu yang melahirkan dan ayah yang membesarkan dengan kasih sayang.Air mata yang mengalir kerana rindukan keluarga mesti segera kamu kesat dengan hujung baju apabila kamu memegang amanah persatuan nanti.Boleh jadi kamu tidak berpeluang pulang ke Malaysia semasa cuti musim panas.Bahkan mungkin pada 1 Syawal kamu dilihat sedang menyapu sampah di Darul Rahmah semata –mata tugas persatuan yang kamu pikul.Takut-takut nanti kamu akan digelarkan sebagai kacang lupakan kulit kerana jarang pulang ke Malaysia bertemu keluarga disebabkan tugasan persatuan.


 Tebal muka ialah kamu tidak tahu malu.Kamu akan digelarkan dengan peribahasa ini apabila semua cubaan di atas kamu mampu hadapi dengan penuh kesabaran dan mengharapkan bantuan Allah.Kamu tidak malu kerana kamu melakukan apa yang kamu yakini sebagai benar selagi selari dengan panduan Al Quran dan Al Hadis.Ribut celaan dan taufan ujian gagal menumbangkan prinsip perjuangan kamu.Pada tahap ini,muka kamu layak diklasifikasikan sebagai muka yang tebal.


Samada kamu setuju atau tidak,sifat-sifat negatif yang positif di atas mesti ada pada sesiapa sahaja yang mahu terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan.Apatah lagi bagi yang terlibat dalam gerak kerja dakwah.Samada kamu memegang jawatan kecil atau jawatan tertinggi dalam persatuan.Samada di Mansurah sini atau di Malaysia sana.Semakin besar jawatan dan amanah yang dipikul,semakin kuat sifat-sifat ini perlu melekat pada peribadi kamu.


Kehebatan dan keupayaan seseorang pemimpin itu dapat dinilai apabila beliau mampu memanipulasikan sifat-sifat negatif di atas untuk disalurkan kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan.
Kebetulan,saya nampak sifat-sifat ini ada pada Azizi.


Ops,terkempen.

Minta maaf.

Akhir sekali, saya berpesan kepada diri dan bakal pimpinan PCM akan datang supaya sentiasa memohon pertolongan Allah.Tiada daya dan upaya melainkan semuanya milik Allah.

Akhukum,

Nabil.

Pengerusi VS Exco

Gerak kerja pengerusi dan exco-exco unit sangat berbeza sebenarnya.
Kerja-kerja untuk memikirkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan oleh PCM pada sesi kepimpinan anda adalah lebih merujuk kepada gerak kerja dan bidang tugas exco setiap unit.

Pelaksanaan atau pembatalan sesuatu program dan aktiviti itu adalah berdasarkan kemantapan dan jentera bekerja dalam unit tersebut. Keputusan ini diambil setelah penelitian terhadap kualiti dan keberkesananannya difikirkan bersama diantara pengerusi, barisan majlis tertinggi dan sahabat sebaris dengan kalian dalam tampuk kepimpinan.
Oleh hal yang demikian, untuk pembaharuan, pembatalan dan idea mewujudkan aktiviti yang baru itu lebih kepada gerak kerja seorang exco sebenarnya.
Bagaimana dengan pengerusi?? Tidak berperanankah dalam hal ini?
Mereka lebih tertumpu kepada perkara dasar.

Maksudnya bagaimana??

Individu bergelar pengerusi perlu berfikir perkara dasar persatuan yang mana perkara dasar ini perlu diterapkan dalam setiap gerak kerja unit agar dapat menghasilkan sinergi yang mantap bagi mengukuhkan persatuan PERUBATAN yang kita dokongi ini.

Sebagai contoh:

Dasar kebajikan : maka setiap unit perlu merancang aktiviti yang mampu memberi kebajikan yang maksimum kepada ahli. Kebajikan tidak tertumpu kepada unit kebajikan semata-mata; seperti menghulurkan sumbangan TKS, menziarahi ahli sakit dan membantu pengurusan ke lapangan terbang sahaja. Keperluan ahli dalam akademik, kerohaniaan, sosial dan hiburan juga dikira sebagai kebajikan kepada ahli.

Maka, kualiti setiap aktiviti yang dijalankan itu perlulah diteliti semula. Adakah ia masih relevan dilaksanakan ataupun tidak berdasarkan keberkesanan terhadap ahli yang kita sama-sama maklum mempunyai kekangan masa yang tinggi dalm kehidupan selaku pelajar perubatan.

Lalu, pengkualitian yang akan dilaksanakan lebih banyak tertumpu kepada mereka yang pernah melalui saat-saat percubaan program baru dilaksanakan. Jelas di sini PENGALAMAN secara langsung dalam gerak kerja sesi lalu lebih membantu menguatkan persatuan ini.
Sekali lagi di tegaskan,tugas pengerusi adalah berfikir perkara dasar persatuan. Pembawakan dasar persatuan pada sesi anda akan memberi idea kepada unit-unit dibawah kalian untuk berfikir aktiviti tahunan masing-masing. Samada perlu meneruskan aktivit lama ataupun tidak, dan pengerusi bertindak berfikir bersama exco-exco unit terhadap kualiti aktiviti sesi lepas dan objektif program baru yang bakal dilaksanakan, adakah ia bakal merealisasikan dasar dan pembawakan PCM pada sesi anda.

DASAR dan PEMBAWAKAN

Perkara dasar ini pula bukanlah satu perkara mudah. Dasar juga boleh dikatakan pembawakan dalam persatuan.

Tahun demi tahun, wajah-wajah pengerusi PCM berubah. Pembawakan juga berbeza, pelbagai pembaharuan yang cuba dilaksanakan dan dari sesi ke sesi. Saya dapat merasai perbezaan itu.

Berfikir perkara dasar dapat dihasilkan dengan memerhatikan pembawakan barisan pimpinan pada sesi lalu yang belum mampu dipraktikkan oleh pemimpin lepas dan perlu diperkasakan pada sesi pimpinan kalian.

Sekali lagi, perlu saya nyatakan, pada mereka yang bakal bergelar Pengerusi ;PENGALAMAN semasa berada dalam barisan exco LEBIH MAMPU DAN TEPAT dalam memerhati keadaan pada barisan exco( yang mana mereka ini turut sama berfikir untuk gerak kerja unit lain sebelum ini) dan keadaan ahli agar mampu mencerna idea untuk menghasilkan perkara dasar dan pembawakan pada sesi kalian.

Kehadiran penasihat dan exco kekal adalahuntuk membantu tugas pengerusi. Mereka juga punya portfolio tersendiri yang perlu difikirkan. Maka seorang pengerusi itu mestilah berkelayakan dan mengetahui bidang tugasnya yang sebenar. Dan kehadiran sahabat sebaris dengan anda adalah untuk membantu urusan sampingan anda, bukan melaksanakan tugas utama anda.

BERPRINSIP DALAM BEKERJA

Prinsip dan dasar SEOLAH-OLAH perkara yang sama, hakikatnya punya perbezaan.
Prinsip adalah tunjang kekuatan persatuan.

Apa yang perlu ada dalam jiwa seorang pengerusi ini adalah berprinsip dalam berpersatuan.
Apakah prinsip seorang yang mengakui dirinya Islam?

Jawapannya :Rukun Islam dan Iman, maka berpegang pada prinsip ini boleh memandu kita untuk meletakkan batas-batas perbuatan yang boleh dilaksanakan mahupun tidak.
Perumpamaanya begitu dalam berpersatuan.

Berprinsip dalam gerak kerja adalah 'guideline' kepada kita apakah perkara yang boleh dilaksanakan dan tidak boleh dilaksanakan untuk menjamin survival PERUBATAN 10 tahun akan datang atau lebih dari itu. Prinsip ini bukanlah pembawakan prinsip peribadi ke dalam persatuan, tetapi ia adalah prinsip persatuan yang mutlak dimana ia perlu diguna pakai dalam sebarang gerak kerja.

Prinsip inilah yang mampu memandu seorang ketua pimpinan untuk mengambil tindakan dan keputusan yang mungkin boleh dipengaruhi oleh pihak lain yang cuba mendapatkan keuntungan dari kalian tetapi sebenarnya memberi kemudaratan kepada persatuan PERUBATAN yang kita dokongi dan sayangi selama ini. Berprinsip dalam gerak kerja persatuan membolehkan anda mengambil keputusan yang boleh menguatkan dan mengukuhkan persatuan PERUBATAN Cawangan Mansurah ini.

Di sini lah berlaku sedikit salah faham dengan mengatakan pembawakan setiap pengerusi itu sama sahaja setiap tahun. Hakikatnya berbeza, tahun demi tahun terdapat pelbagai masalah yang perlu diselesaikan menyebabkan cara pembawakan sestiap sesi itu pastinya berubah.
Apa yang dilihat tidak dapat diubah itu adalah BERPRINSIP dalam persatuan kerana berfikir untuk PERUBATAN untuk jangka masa yang panjang walau pengerusi persatuan ini telah kembali ke tanah air, tetapi ia masih relevan untuk generasi baru akan datang. Mungkin juga cucu atau cicit kepada pengerusi bakal menjadi peneraju PCM suatu hari nanti!!

Berfikirlah wahai kedua-dua calon pengerusi dan semua calon exco yang saya hormati, anda masih belum dibebankan dengan amanah ini. Setiap langkahan adalah langkahan bernilai buat kami.

Buat seluruh ahli PCM, berfikir sejenak sebelum mengundi.

Perkongsian ini adalah sedikit perkongsian PENGALAMAN yang di alami.

Wallahu 'alam.

Aku yang menyayangi PCM,

Syamilah Mohamad

PERUBATAN punya identity tersendiri

MUNAJAT PERDANA. JOM!!!

 IKHWAH

http://farm5.static.flickr.com/4125/5206519176_1e4e9bd3f5_b.jpg

AKHAWAT


http://farm5.static.flickr.com/4091/5205922015_91e9988c3f_b.jpg